Menu

Cabaran UPSI MTB Jamboree

 

2

Tanjong Malim, 12 November – Penganjuran UPSI MTB Jamboree 2017 dianggap ekspedisi terbaik dalam pertandingan seumpamanya. Ini diakui sendiri oleh pelumba dari perancis, Gerald Aiff.

“ Laluannya sangat sukar. Dua bulan lepas saya ada menyertai satu pertandingan tetapi ianya tidak sesukar laluan ini. Saya akan kembali menyertai pertandingan ini pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Encik Musa Hamzah dari kumpulan Taman Wilayah Cycling Club berkata, pertandingan pada tahun ini sangat mencabar berbanding pada tahun 2016.

“Cabaran kali ini sangat menguji kekuatan fizikal kerana keadaan cuaca yang lembap dan hujan berbanding tahun lepas di mana cuaca baik dan panas. Walau bagaimanapun tahun depan saya akan kembali untuk beraksi,” katanya

Pengarah Program, Encik Mohd Shahrul Abd Wahid berkata, laluan yang dihadapi semua peserta sememangnya mencabar semua peserta kerana perlu menempuh laluan sejauh 35 kilometer menggunakan laluan on road dan off road dengan melalui hadapan kilang proton, laluan kebun kelapa sawit, Diamond Creek, Instun, Dusun Rasau, kawasan kebun sayur-sayuran,serta meredah laluan sungai.

“Sebelum memasuki laluan off road, peserta akan melalui laluan road (tarmac) sejauh 10km bagi membuat (breakaway) pemecahan mencari kedudukan terbaik sebelum memasukan laluan off road dan pendakian pertama,”.

“Laluan semakin mencabar apabila laluan berliku dan perlu melintasi satu anak sungai berbatu, sepanjang laluan ini, keadaan yang berlumpur akibat hujan sejak beberapa hari sebelum hari kejohanan. Memasuki kilometer 20, pendakian kedua di Dusun Rasau sangat menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta kerana perlu mendaki ketinggian sehingga mencecah 220 meter,”.

“Memasuki fasa akhir laluan, peserta dihidang di lalaun yang agak santai di dalam kebun semaian tanaman pokok-pokok hutan yang mengadap pemandangan Banjaran Titiwangsa yang amat menarik,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang laluan sejauh 36.2km, dalam jarak berkenaan peserta perlu melepasi 3 zon check-point, sepanjang pihak penganjur menyediakan dua (2) stesen air beserta buah-buahan dan diakhir kayuhan semua peserta akan menerima ‘finisher medal’.

Bagi kategori Fun Ride, peserta menempuh laluan sejauh 25 kilometer melalui laluan sepenuhnya di onroad (tarmac) sepanjang laluan Tanjong Malim, Behrang Stesen, Behrang Ulu dan melalui hadapan kilang proton dan kembali ke UPSI.

UPSI MTB Jamboree pada kali ini disertai seramai 1300 peserta termasuk dari luar negara iaitu  Singapore, Belanda, Afrika Selatan dan Perancis dan turut dimeriahkan dengan penyertaan dari pelumba-pelumba kebangsaan antaranya Mohd. Harrif Saleh, Mohd. Zamri Saleh, Mohammad Saufi Mat Sena, Adiq Husainie Othman dan Muaz Abdul Rahim.

Pelepasan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Profesor Dr. Shaharudin Abdul Aziz dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, encik Mohd Syukri Azaari di Komplek Sukan.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki (24 – 34 tahun), Lelaki Senior  (35 – 45 tahun), Lelaki Veteran (46 tahun ke atas),  Wanita Terbuka (13 tahun ke atas), Heavyweight (90kg ke atas), Lelaki IPT (18 tahun ke atas), Wanita IPT (18 tahun ke atas), dan Fun Ride (terbuka) dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM11,180.00.

Juara bagi setiap kategori dimenangi oleh Nik Adam Iskandar dari kumpulan Nadiz  memenangi kategori Junior ,  Mohammad Saufi Mat Senan dari kumpulan Sitra (Lelaki Open), Shahrin Amir (Lelaki Senior),  Tan Chee Yong dari kumpulan  Izrimee Bike ( Senior Master Lelaki), Masziyaton Mohd. Radzi dari kumpulan SBS Giant / Polis DiRaja Malaysia (Wanita) Muhammad Shukri Hj. Sulaiman dari kumpulan Jeli Rider (Heavyweight), Zamirul Adlisham dari Universiti Kebangsaan Malaysia (IPT Lelaki) dan Nur Assyira Zainal Abidin dari Politeknik Shah Alam (IPT Wanita).

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Dekan FSSKJ, Dr. Thariq Khan Azizuddin Khan dan Pegawai Seranta Negeri Perak, Jabatan Perdana Menteri, Pn. Salina Samsudin.

Please follow and like us:

Categories:   Sukan & Budaya

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Enjoy this blog? Please spread the word :)