Persatuan Pengurusan FPE Anjur Eksplorasi Baktisiswa Anak Bangsa

kenali diri

Oleh: Muhammad Aqil Mustaqim Yatim@Atim

Gambar: Persatuan Pengurusan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi

UPSI, 9 April  –  Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa dan Exco Latihan Pembangunan Sahsiah dari Persatuan Pengurusan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPFPE), UPSI dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pusat Perhubungan Alumni  menganjurkan program Eksplorasi Baktisiswa Anak Bangsa (EKTISA) bertempat di Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Ijok, Batu Kurau, Perak.

Program yang dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Selama, Cik Izziantee Izzahan itu, diadakan pada 6 hingga 9 April 2017 sebagai salah satu khidmat kominiti kepada pelajar SK Sungai Jernih serta penduduk setempat melalui program-program dijalankan.

klian gunung

Antaranya Slot Motivasi Target “A” dan slot Usahawan Cilik yang dikendalikan sepenuhnya oleh 40 orang mahasiswa Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), UPSI. Melalui slot ini, pelajar dari tahun 4, 5 dan 6 SK Sungai Jernih terlibat dengan aktiviti pembuatan produk cenderahati serta turut didedahkan dengan pengetahuan asas keusahawanan yang bersesuaian dengan tahap mereka.

Selain itu, mahasiswa berpeluang menimba pengalaman bersama dengan salah seorang usahawan kampung tersebut iaitu Encik Nawawi Hasbullah dalam aktiviti Perkongsian Ilmu Amalan Keusahawanan bersama Usahawan Desa bagi memperkukuhkan lagi ilmu keusahawanan dan perniagaan yang dimiliki.

Melalui program EKTISA itu juga, mahasiswa telah berkerjasama dengan penduduk setempat dan PIBG SK Sungai Jernih dalam menganjurkan dan menguruskan Program Klian Gunung Challenge 2017 yang turut ditayangkan di RTM1 dalam program AKSI.

penyerahan anak angkat

Mahasiswa FPE, UPSI telah bertindak sebagai urus setia dalam program yang melibatkan lebih daripada 500 orang peserta dari seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam aktiviti berbasikal tersebut. Sebagai urus setia, mahasiswa dapat mempraktikkan ilmu dan kemahiran pengurusan serta kepimpinan yang telah dipelajari selama ini.

Sepanjang program ini berlangsung kesemua mahasiswa yang mengikuti program diletakkan di bawah jagaan 11 buah keluarga angkat yang terdiri daripada penduduk sekitar kampung tersebut.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...