OLYMPUS DIGITAL CAMERA

UPSI, 16 Mac – Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) menganjurkan seminar “Taiping Story: Menelusuri Sejarah dan Warisan Taiping” bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning bertujuan membincangkan dan menelusuri sejarah Taiping, serta kedudukannya sebagai bandar warisan.

Bandar Taiping terletak di utara negeri Perak memiliki keunikan tersendiri sehingga diisytihar kerajaan negeri sebagai Bandar Warisan. Ini sekali gus menjadikan Taiping destinasi pelancongan warisan bukan sahaja kepada masyarakat tempatan malah luar negara.

Dekan FSK, Profesor Dr. Zainudin Othman berkata, “Taiping terkenal sebagai kawasan pelombongan bijih timah utama di negeri Perak pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 sehinggakan ia menjadi tumpuan pelbagai kaum dan kesan sejarah tersebut masih ada sehingga kini,”.

Tambah beliau, program itu tercetus rentetan daripada penyelidikan diketuai Dr. Nazirah Lee Abdullah bersama Dr. Rabaah Abdullah, Dr. Mohd Faris Dziauddin, Dr. Zanariah Noor dari FSK dan Muriza Mustafa dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif bertajuk  “Decision Making Support Tools Untuk Pelancongan Warisan: Kajian Kes di Kawasan Bersejarah dan Tapak Warisan Taiping, 1840-1940” yang mendapat dana penyelidikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Menurut pengkaji sejarah, Abdul Halim Yahya yang mewakili Persatuan Warisan Taiping dan Persatuan Pelancong Taiping berkata, Taiping berasal daripada perkataan Cina
(太平) yang bermaksud “Aman selama-lamanya” dan dibangunkan apabila bijih timah ditemui pada tahun 1840-an oleh pembesar Melayu bernama Che Long Jaafar.

“Taiping mempunyai produk-produk warisan yang berbentuk dan tidak berbentuk yang boleh diiktiraf dan dipromosi sebagai ‘Bandar Warisan’ yang unik, malah memiliki sejarah yang signifikan lagi  penting yang mencerminkan bermulanya pembentukan sebuah negara Malaya/Malaysia kepada sebuah negara seperti dilihat sekarang,”.

“Taiping berada di lokasi strategik iaitu antara Pulau Pinang dan Ipoh yang senang di lawati, meliputi alam semula jadi, air terjun, taman tasik, bukit larut, kelip-kelip, hutan paya, muzium, kampung tradisi, kraf tangan, makanan tradisi, bird watching, serta penginapan yang memberi keselesaan kepada pelancong,” katanya.

Pada seminar itu, Pensyarah FSKIK, Dr. Syed Othman Syed Yusoff membentangkan kertas kerja bertajuk  Taiping: A Visual Narrative, dan Abdul Razak Abd Jabbar dengan tajuk Salasilah Keluarga.

Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Datuk  Wan Mohd Isa Dato’ Seri  Wan Ahmad  Razali  turut berkongsi  cerita Taiping yang kaya dengan bangunan warisan dan sumbangan orang Melayu.

Please follow and like us: