DSC_4416

UPSI, 3 Mei – Muhamad Fakhrullah Farrok, pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Pengiklanan) dianugerahkan Anugerah Perdana Naib Canselor iaitu pengiktirafan tertinggi dalam Majlis Anugerah Ketrampilan Pelajar sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM1000.00, trofi dan hadiah iringan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar.

Beliau turut menggondol dua lagi anugerah iaitu, Anugerah Pemimpin Pengucapan Awam, dan Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan.

Sebanyak 17 anugerah dipertandingkan dalam majlis yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan pelajar yang bergiat dalam aktiviti–aktiviti persatuan/kelab, kepimpinan, kesukanan dan kebudayaan dan kebudayaan yang bermanfaat kepada pelajar, universiti dan negara.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, pemilihan mahasiswa dan badan pelajar yang berjaya menempatkan diri sebagai yang terbaik telah melalui proses pemilihan dan saringan oleh panel-panel dilantik.

DSC_4425

Tambah beliau, menjelang 2019 UPSI berhasrat menghantar ramai calon yang memenuhi kreteria yang ditetapkan untuk bertanding dalam anugerah-anugerah pelajar yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sekali gus mengharum nama universiti.

“Dalam menggerakkan usaha ini UPSI akan memastikan Lonjakan 1 dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawan dan seimbang,” katanya.

Anugerah lain yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Pemimpin Kolej  Kediaman, Anugerah Pemimpin Badan Pelajar, Anugerah Pemimpin Badan Beruniform, Anugerah Pemimpin Pelajar Antarabangsa, Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek, Anugerah Pemimpin Program Sukan, Anugerah Persatuan Akademik Terbaik dan Anugerah Pemimpin Sukarelawan

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Md Amin Md Taff, Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Akademik, Dr. Zainab Othman dan Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Azzah Abdul Latiff.

Please follow and like us: