MBOR iktiraf Tarian Tradisional Terbanyak Dalam Satu Acara

DSC_4673

UPSI, 27 Mac 2017– Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris mencipta rekod baharu Malaysia Book of Record menerusi Tarian Tradisional Terbanyak Dalam Satu Acara iaitu melibatkan 31 jenis tarian dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar.

Program penciptaan rekod yang melibatkan 115 penari dari UPSI dan 25 orang dari Persatuan Teluk Intan itu dirasmikan oleh Penasihat pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau terpegun dan terpukau dengan kreativiti  pelajar serta menyifatkan persembahan yang berlangsung secara medley selama 2 jam tanpa henti itu adalah  bertaraf dunia.

“Persembahan pada malam ini bukan sekadar mencipta rekod Malaysia Book of Record tetapi setaraf rekod dunia dan jika beginilah kualiti anak muda yang dihasilkan UPSI, Malaysia mampu mencapai Transformasi Nasional 2050,” katanya.

DSC_4890

Beliau turut berbesar hati menyumbangkan dana berjumlah RM10 000 kepada Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) selaku penganjur program itu.

Antara tarian yang dipersembahkan ialah Tarian Sumazau, Tarian Zapin, Tarian Bharathanatyam, Tarian Bangra, Tarian Mak Yong, Tarian Sewang dan dua tarian oleh Persatuan Teluk Intan iaitu Tarian Naga, Tarian Singa.

Selain itu, sebahagian hasil dari kutipan tiket majlis itu turut disumbangkan kepada 30 orang pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Sin, Sekolah Kebangsaan Ulu Bernam dan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Tan Sri Dato’ Manickavasagam.

Melalui aktiviti seperti ini, pihak penganjur berharap agar orang ramai dapat mengenali keunikan tarian tradisional yang jarang disaksikan di mana-mana di samping bagi mengeratkan perpaduan antara kaum.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...