Kerjasama UPSI, ESPEK bakal bangunkan Daerah Muallim

IMG_2110 

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Estet Pekebun Kecil Sdn Bhd (ESPEK) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan usaha-usaha mempromosikan kedua-dua institusi melalui kaedah EDU-TOURISM dan ECO-TOURISM sekaligus bakal memberi faedah kepada masyarakat luar Bandar.

Pengerusi ESPEK, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, antara faedah yang boleh diperoleh menerusi kerjasama ini adalah ia bakal membuka peluang pekerjaan dan menambah pendapatan penduduk, khususnya peniaga kecil.

“Produk pelancongan berkonsepkan pelancongan pendidikan dan eko-pelancongan ini berpotensi tinggi dikembangkan, memandangkan keindahan alam semula jadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk aktiviti riadah.

 “Konsep pelancongan yang menggabungkan rekreasi dan pendidikan antara aktiviti yang amat popular, bukan hanya bagi pelancong tempatan malah luar negara. Ia secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap sektor pelancongan ini.

“Saya percaya, ESPEK dan UPSI dapat menggembleng usaha serta idea bagi mempromosikan sektor pelancongan luar bandar dengan fokus terhadap aktiviti riadah seperti meneroka hutan, bukit, sungai, air terjun, di samping pembelajaran mengenai flora dan fauna,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU yang disaksikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

IMG_2093

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato Dr. Mohammad Shatar berkata, pemeteraian MoU itu telah mengorak satu lagi langkah  ke arah kerjasama antara UPSI dengan pihak luar yang mempunyai kaitan rapat dalam menyokong dan membantu membangunkan usaha-usaha mempromosikan kedua-dua institusi di daerah Muallim.

Beliau berharap usaha tersebut akan menarik lebih ramai orang awam dalam dan luar negara untuk berkunjung di kedua-dua tempat bagi tujuan menimba ilmu, disamping beriadah dan melakukan aktiviti fizikal dan rekreasi bersama keluarga.

Skop kerjasama yang akan dilaksanakan di Ladang RISDA, Ulu Slim, Slim River ini melibatkan keluasan 4.99 hektar. Ecotaurism ESPEK menyediakan kemudahan yang mencukupi bagi keselesaan pengunjung serta penambahbaikkan dari segi perlaksanaan aktiviti seperti perkhemahan, berkayak, menunggang ATV, Fliying fox dan jungle tracking

Manakala pihak UPSI akan memperbanyak dan mempelbagai program-program bersama bagi membantu mempromosikan khazanah sejarah negara disamping menjaga alam semula jadi, lekasanakan penyelidikan untuk perkembangan pendidikan pelancongan dan menyediakan tenaga pengajar, peserta kursus dan latihan dalam bidang ecotourism.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKLW, Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin. MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif ESPEK, Tn. Hj. Abd Aziz Jaafar manakala UPSI diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...