Sambutan Perayaan Krismas Kukuhkan Semangat Perpaduan

IMG_7593

 UPSI, 9 Disember – Program Sambutan Perayaan Krismas UPSI 2016 Peringkat IPT anjuran Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah dengan kerjasama Jalinan Anak Sarawak adalah salah satu langkah yang bijak kerana menjadikan institusi pendidikan sebagai medium untuk memperkukuhkan semangat perpaduan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, ini kerana mahasiswa adalah bakal pewaris negara yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan dan ia perlu untuk diperkukuhkan bermula pada masa sekarang selain mampu menyatupadukan masyarakat.

“Ia dilihat sebagai salah satu medium yang kukuh untuk menyatupadukan masyarakat khususnya warga mahasiswa dan mahasiswi Borneo di Semenanjung. Sesungguhnya kita sebagai masyarakat Borneo amat menyedari tentang masyarakat berbilang kaum serta semangat perpaduan yang sentiasa terjalin kukuh,”.

“Ini adalah kunci kepada kejayaan bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat secara holistik. Kita juga sentiasa menghargai kepentingan perayaan seperti ini dan memanfaatkannya untuk mengukuhkan lagi kesepaduan, semangat kekitaan, perasaan muhibah dan harmoni yang sememangnya amat sinonim dalam konteks kepelbagaian budaya dalam etnik di Sabah dan Sarawak,” katanya sewaktu merasmikan majlis yang diadakan di Auditorium Utama.

Tambah beliau, sambutan tersebut berjaya menterjemahkan semangat 1Malaysia yang yang menjadi budaya masyarakat Bornea dan dipancarkan menerusi kekukuhan semangat perpaduan, toleransi beragama dan keharmonian antara kaum.

“Seperti mana yang dihasratkan dalam gagasan 1Malaysia, kita tidak melihat perbezaan bangsa, kaum dan agama sebagai batu penghalang untuk kita saling mengenali, bekerjasama dan seterusnya mewujudkan satu bangsa Malaysia yang cemerlang,” ucap beliau.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua II, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, berkata, sambutan itu adalah bukan berbentuk keagaama sebaliknya merupakan satu cara untuk menyatupadukan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan agama.

Dalam majlis yang disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi Borneo dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pelbagai aktiviti seperti persembahan tarian dan nyanyian turut diadakan.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...