Bidang Rehabilitasi Mampu Jana Pendapatan Sampingan

Pix 2- Hannan

UPSI, 21 Oktober – Bidang rehabilitasi merupakan bidang baharu di Malaysia dan UPSI  menjadi universiti pertama yang menawarkan bidang itu, malah setiap bidang yang dipelajari di universiti boleh dimanipulasi untuk menjana pendapatan sampingan.

Bagi Muhammad Hannan Sazali, 22, pelajar semester tujuh  Ijazah Sarjana Muda Rehabilitasi  Sukan beliau dan rakan-rakannya cuba memanfaatkan sebaik mungkin bidang yang didalami di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan itu dan menganggap ia mempunyai potensi  dalam membina kerjaya selepas bergraduat.

Menurut Muhammad Hannan, beliau menyediakan khidmat mengurut dengan menggunakan kaedah rehabilitasi untuk pelanggannya sama ada pelajar mahupun kakitangan di sekitar kampus.

Pix 3- Muhammad Hannan sedang mengurut

“Urutan terapi ini berupaya mengurangkan keregangan, mengurangkan sakit, meningkatkan kelenturan badan, meningkatkan tahap kesihatan serta melancarkan peredaran darah. Bagi meluaskan perkhidmatan pula, saya dan rakan-rakan akan menyertai program-program besar yang diadakan seperti sambutan Hari Sukan Negara, Sukan  Olahraga dan Renang anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM),”.

“Perkhidmatan di program-program berkenaan juga mendapat sambutan yang memberangsankan daripada kalangan pelajar dan atlet iaitu antara 15 hingga 20 orang sehari,”.

 “Melalui perkhidmatan urutan ini juga, kami dapat mengaplikasi terus apa yang dipelajari sebelum menjalani dua kali Latihan Industri iaitu pada semester enam dan lapan di organisasi seperti Majlis Sukan Negara , Majlis Sukan negeri, Sekolah Sukan Malaysia serta pusat-pusat rehabilitasi swasta,” katanya.

Tambah beliau, usaha mereka menawarkan perkhidmatan urutan terapi itu mendapat sokongan Dekan, Prof.  Madya Dr. Nur Ikhwan Mohamad  dan  Timbalan Dekan yang juga pengajar rehabilitasi, Prof. Madya Dr. Lee Ai Choo.

Perkhidmatan urutan selama tiga hingga 10 minit hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.00.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...