OLYMPUS DIGITAL CAMERA

UPSI, 30 Ogos – Mantan Naib Canselor, Prof. Emeritus Datuk Wira Ir. Dr. Md Noor Salleh  menyampaikan sumbangan peribadi  RM500 kepada Siti Nur Aishah Amaluddin, 20, pelajar baharu ambilan September sesi 2016/2017 dalam satu pertemuan di Foyer Bangunan Canselori.

Prof. Md Noor berkata, pengalaman dibesarkan  di Tawa, Baling  menyebabkan beliau terpanggil untuk membantu anak-anak muda dari situ malah beliau sering kembali  ke sekolahnya  untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Beliau berharap lebih ramai lagi anak-anak Baling dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana kini Baling sudah maju dan memerlukan ramai anak  Baling berjaya dalam bidang pendidikan.

Beliau yang kini menjadi Dekan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa  Malaysia (UIAM)    berharap sumbangan itu dapat memberi motivasi kepada Siti Aishah untuk meneruskan pengajian untuk mencapai cita-citanya menjadi  seorang pendidik.

Siti Nur Aishah yang ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu,  berasal  dari Kampung Charok Kapas, Baling merupakan anak ketiga daripada enam beradik amat bersyukur dengan sumbangan itu dan berazam menggunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin untuk memulakan pengajian.

Bapanya, Amaluddin Kamaruddin, 48, merupakan seorang bekerja kampung manakala  ibunya, Rozita Ali, 44, adalah seorang suri rumah.

Please follow and like us: