DSC_9681

UPSI, 20 Oktober–Universiti Pendidikan Sultan Idris memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Malaya (UM) sebagai usaha untuk membangunkan bidang astronomi di Malaysia dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Fakulti Sains dan Matematik.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata,  inisiatif untuk membangunkan bidang ini dimulakan oleh En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar (UPSI) dan Dr. Zamri Zainal Abidin (UM) pada tahun 2012 dengan membina kemudahan pencerapan gelombang radio bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran serta kajian astronomi radio.

“Inisiatif ini merupakan usaha kecil yang dilakukan bagi memberi pendedahan yang lebih luas tentang astronomi kepada pelajar universiti khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Maka satu kerjasama membina kemudahan radio teleskop bersaiz 7.3m yang merupakan radio teleskop terbesar di Malaysia dimulakan  antara pihak UPSI dan UM.

“Radio Astronomi merupakan satu bidang penyelidikan baharu di Malaysia di mana gelombang radio digunakan untuk mencerap jasad samawi (umpamanya bintang, galaksi, letusan supernova). Ia merupakan satu instrument bagi mengkaji objek di angkasa lepas dengan mencerap gelombang radio yang terdiri daripada parabola, sistem kawalan dan sistem pencerapan data. Pembinaan radio teleskop ini melibatkan perkongsian kos, lokasi dan kemudahan insfrastruktur antara pihak UPSI dan UM, katanya lagi pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Fakulti Sains dan Matematik UPSI dan Fakulti Sains, UM,” katanya.

DSC_9789

Tambah beliau, kawasan pembinaan radio teleskop ini dinamakan sebagai Balai Cerap Astronomi Radio UPSI-UM bagi meraikan kerjasama yang telah dilakukan itu dan pembinaannya adalah langkah awal untuk mengembangkan lagi penerokaan sains angkasa serta mampu meletakkan UPSI dan UM maju selangkah ke hadapan dalam bidang astronomi, sekaligus telah menark minat pihak luar untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang sains angkasa.

“Pada 21 Oktober 2016, pihak Agensi Angkasa Negara, UiTM dan Universiti Kyushu, Jepun akan menempatkan magnetic data acquisition system (MAGDAS) berdekatan dengan balai cerap bagi tujuan kajian cuaca angkasa,” katanya.

Sementara itu, menurut Naib Canselor UM, Tan Sri Profesor Dr. Mohd Amin Jalaludin,  Pemilihan UPSI adalah disebabkan lokasinya yang sesuai untuk cerapan radio astronomi dengan mengambil kira lokasi UPSI yang mana bacaan nilai RFI (Radio Frequency Interference) yang rendah.

DSC_9752

Setakat ini tiada balai cerap radio astronomi yang beroperasi di kawasan khatulistiwa. Usaha sama UPSI-UM ini memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menyertai rangkaian Very Long Baseline Interferometry (VLBI network) bersama-sama dengan balai-balai cerap radio astronomi di rantau Asia dan Australasia pada masa depan.

Tambah beliau, kemampuan radio teleskop ini mampu membuat cerapan berkualiti antarabangsa dan ini membolehkan kita untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian radio teleskop antarabangsa yang sedia ada terdiri dari negara-negara seperti Korea Selatan, China dan Australia.

 

 

Please follow and like us: