DSC_9417UPSI, 15 Oktober – Seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,  justeru, dalam usaha menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat,  Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) menganjurkan Hari Terbuka Perpustakaan Tuanku Bainun kali ke-4 selama empat hari, dalam masa yang sama turut diadakan Pesta Buku UPSI kali ke-14.

Ketua Pustakawan, Pn. Rusliza Yaacob berkata, Hari Terbuka Perpustakaan diadakan bertujuan untuk meneruskan usaha menggalakkan budaya membaca dan ilmu melalui perpustakaan selain menjadikan ia sebagai batu loncatan kepada masyarakat untuk mengenali kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan.

Menurut beliau, sempena hari terbuka juga turut diadakan Pesta Buku UPSI bersama rakan penganjur Pejabat Karang Mengarang.

“Sebanyak 14 acara diadakan sebagai pengisian Hari Terbuka antaranya Pesta Buku UPSI yang diadakan pada 12-15 Oktober 2016. Acara ini telah mengumpulkan pengedar dan penerbit buku komersial serta universiti di bawah satu bumbung bagi membolehkan warga Tanjong Malim mendapatkan harga lebih murah daripada harga di pasaran,” katanya.

DSC_9353

Tambah beliau, pelbagai program menarik yang diadakan ialah Program Ujana ilmu: Gajah Putih di Bumi Geroda, Kafe Ilmu – Stigma Penyakit Psikiatri oleh Pensyarah Perubatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Zul Azlin Razali, Pelancaran Buku Model Peringkat Kefahaman Numerasi Sekolah Rendah dan T1-NSPIRE Graphing Technology: Pre University Mathematics Terbitan Penerbit UPSI dan Sembang Buku Bersama Penulis, Library Infohunt, My Favourite Book bersama Fedtri Yahya (Personaliti TV3), Tayangan Filem, Foodtruck, dan Pameran Bertema.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, fungsi perpustakaan tidak hanya menjurus kepada pembacaan atau aktiviti yang setara tetapi juga menjadi pemangkin kepada tacit knowledge atau pengetahuan tersirat.

Tambah beliau, pada era ledakan teknologi maklumat hari ini, sumber maklumat perpustakaan tidak lagi terhad kepada bahan-bahan bercetak tetapi juga kepada bahan-bahan di dalam bentuk digital.

“Penghasilan bahan dalam bentuk digital telah menyemarakkan lagi aktiviti pembacaan dan pencarian maklumat. Melalui kaedah maklumat di hujung jari, perpustakaan dapat menyebarluaskan sumber maklumat perpustakaan kepada lebih ramai pengguna,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Hari Terbuka Perpustakaan Tuanku Bainun 2016.

DSC_9502

Dalam majlis tersebut, PTB turut melancarkan maskot pertamanya yang diinspirasikan daripada burung hantu yang membawa pengertian kebijaksanaan dan kesarjanaan.

Hadir sama, Pengetua Kolej Zaba, Dr. Mohd Zahuri Khairani yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Pengarah Pejabat Karang Mengarang, Profesor Madya Dr. Nasir Nayan, dan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Pn. Hjh. Siti Sumaizan Ramli.

Please follow and like us: