Forum Komuniti Keluarga Bahagia

HAS_3044

UPSI, 28 September–Buat pertama kalinya UPSI dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pertubuhan IKRAM menganjurkan Forum Komuniti Keluarga Bahagia Siri 2/2016.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, “forum itu merupakan satu program yang penuh berinformatif dan sangat relevan dalam kehidupan berkeluarga. Institusi keluarga merupakan komponen sosial yang amat penting dalam masyarakat dan juga sebagai asas kepada pembangunan insan bagi membentuk sebuah negara yang sejahtera. Namun perihal untuk membina keluarga dan menjadi ibu atau bapa dalam zaman ini adalah jauh lebih sukar dan mencabar”.

“Antara cabaran yang dihadapi khususnya oleh golongan wanita yang diperoleh hasil dari Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia lima (KPKM-5) yang dijalankan pada tahun 2014 mendapati hampir satu perlima (18.7%) wanita yang sedang bekerja menghadapi masalah dalam mengimbangi peranan antara kerjaya dan keluarga. Antara masalah utama yang dihadapi adalah kurang masa bersama keluarga (51.9%), masalah penjagaan anak (13.0%), kurang masa untuk diri sendiri (11.9%) dan beban tugas di tempat kerja (11.2%),” katanya.

“Di sinilah sebenarnya terletak kepentingan untuk semua pihak untuk bersama-sama memahami kepentingan mengutamakan perspektif keluarga dalam apa jua usaha, perancangan dan tindakan yang diambil,” katanya.

HAS_2889

Tambah beliau, penglibatan wanita dalam pasaran kerja perlu dipertingkatkan dan terdapat banyak langkah yang boleh dilaksanakan oleh majikan untuk menyokong dan mengambil kira kepentingan wanita dan keluarga dalam sektor pekerjaan antaranya menyediakan pusat penjagaan anak-anak di tempat kerja, menyokong polisi penyusuan susu badan, menyediakan ruangan pejabat yang mesra keluarga, menyokong waktu kerja anjal, memasukkan kursus keibubapaan sebagai sebahagian daripada kursus latihan tahunan anggota,  dan menjadikan kecemerlangan pendidikan anak-anak sebagai pencapaian dalam sasaran kerja anggota.

Prof. Dato’ Dr. Zakaria turut menyentuh tentang usaha untuk membentuk nilai-nilai murni yang perlu dimulakan daripada diri ibu bapa.

“Seperti yang kita tahu, pendidikan pertama dan utama anak-anak bermula dari rumah. Keluarga terutamanya ibu bapa perlu perkasa dari segi ilmu, agama, akhlak, jati diri, dan ekonomi untuk menjadi asas kepada pembinaan modal insan yang cemerlang. Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada rakan-rakan strategik lain, seperti komuniti setempat dan kejiranan, pihak sekolah, agensi kerajaan dan swasta serta NGO-NGO yang mempunyai kepakaran bidang masing-masing untuk membantu membentuk anak-anak kita menjadi modal insan yang cemerlang,” katanya.

HAS_2866

Forum yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, ini dibarisi panel terkenal iaitu pakar perunding Obstetriks dan Ginekologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),  Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Haji Siraj, Ustaz Mohamad Zainuddin atau lebih dikelanli sebagai Pu Yeop dan dimoderatorkan oleh Ketua Unit Kaunseling, Dr. Fauziah Mohd. Saad.

Objektif forum adalah untuk memperkasakan komuniti sebagai agen membentuk keluarga bahagia melalui penerapan lima Nilai Teras keluarga Bahagia iaitu nilai Kasih sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu dan Harmoni atau akronimnya KASIH.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara, Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail, Pengarah  UCTC UPSI, Prof. Dr. Ramlee Mustafa, dan Pengarah LPPKN Negeri Perak, Cik Suraya Ghazali.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...