IMG_5974

UPSI, 7 Oktober-Seramai 20 pelajar UPSI yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Cina) dengan Pendidikan, dan program Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Tamil) dengan Pendidikan ditawarkan biasiswa oleh Yayasan Yu Cai.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, ”Yayasan Yu Cai memberikan sebanyak 20 biasiswa bernilai RM960,000.00 setiap tahun kepada pelajar kedua-dua program tersebut mulai tahun 2015, dan biasiswa kohort kedua sedang dalam proses pemilihan sekarang”.

“Saya percaya langkah dan usaha ini akan memantapkan lagi perkembangan kedua-dua program pengajian tersebut dengan memberi peluang kepada para pelajar meneruskan pengajian mereka tanpa diganggui masalah kewangan dan mereka dapat belajar dengan tenang dan selesa”.

“Dengan penajaan Yayasan Yu Cai ini, saya yakin dan percaya kedua-dua program pengajian berkenaan akan dapat menarik lebih ramai bakal pelajar memilih UPSI amnya dan program pengajian berkenaan khasnya sebagai pilihan mereka untuk meneruskan pengajian,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UPSI dan Yayasan Yu Cai yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Canselori.

Tambah beliau, dengan menandatangani MoA itu, kerjasama antara UPSI dan Yayasan Yu Cai dapat diteruskan dan diperluaskan lagi dengan melaksanakan pelbagai program yang memberi impak dan manfaat kepada kedua-dua belah pihak bagi memenuhi hasrat negara untuk menambah lebih ramai pelajar meneruskan pelajaran pada peringkat pengajian itu.

UPSI diwakili oleh Naib Canselor, manakala Yayasan Yu Cai diwakili oleh Pemegang Amanah, Dato’ Sri Hj. Mahamad Fathil Dato’ Mahmood.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Yu Cai, Chan Chee Beng, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah, Pendaftar, En. Mohd. Faizi Othman dan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Nor Azmi Mostafa

Please follow and like us: