UPSI Mampu Lahirkan Graduan Sektor Animasi

IMG_4565Cyberjaya, 19 Ogos 2016 – Sektor Animasi mempunyai potensi besar untuk berkembang sejajar dengan kemajuan media elektronik dan teknologi digital hari ini.

Melihat kepada potensi yang ada, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, UPSI menerusi Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif (FSKIK) menawarkan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian. Melalui kursus ini pelajar didedahkan kepada strategi kerja penghasilan animasi bermula dari teknik konvensional 2D, digital animasi 2D dan 3D, pendedahan teknik kesan khas dan bunyi, serta inovasi berteknologi seperti Augmented Reality (AR) Comic.

“Kejayaan yang diraih Boboiboy The Movie pada tahun ini dengan kutipan mencecah 10 juta ringgit, memberi petanda sektor animasi di Malaysia kian pesat maju dan hasilnya disambut baik oleh rakyat Malaysia amnya. Malah ia mendapat tempat di pasaran negara jiran, Indonesia.”

“Oleh yang demikian, kewujudan program animasi di UPSI tepat pada masanya bagi melahirkan lebih ramai graduan yang berpotensi sebagai sumber tenaga dan kreatif yang berkemahiran,” katanya dalam Majlis Perasmian Pameran Visua Voce 2016 Degree Showcase (Animation & Advertising Programme) yang berlangsung di MDEC (KDC), Tech Mahindra, Cyberjaya.

IMG_4635

Tambah beliau, pertumbuhan pengiklanan secara signifikannya dapat dilihat daripada perkembangan jumlah pengiklan sama ada media cetak atau digital, agensi pengiklanan dan penambahan tenaga manusia di dalam bidang pengiklanan. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan yang dikeluarkan Media Specialists Association (MSA) 2014 yang mana, industri pengiklanan di Malaysia berkembang pada purata lima hingga enam peratus tahun ke tahun.

Ketua Jabatan Jabatan Multimedia Kreatif, Dr. Muhammad Zaffwan Idris berkata, pameran Visua Voce atau singkatannya Vivo  itu dianjurkan oleh Jabatan Multimedia Kreatif, FSKIK dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation atau MDEC dan mendapat tajaan oleh ANIMONSTA, syarikat animasi tanah air yang terkenal dengan animasi Boboiboy ini merupakan projek tahun akhir pelajar Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian, dan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Pengiklanan).

“Program ini telah mendapat sambutan daripada pihak industri kreatif negara, di mana sesi ‘walk-in interview’ turut dijalankan bagi membolehkan para graduan ditemu duga dan terus diambil untuk bekerja oleh majikan yang berminat,” katanya.

IMG_4652

Melalui Pelan Strategik Universiti (2015-2020), UPSI telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam meningkatkan dan melahirkan ‘talent’ untuk masa hadapan negara. Hal ini sejajar dengan lonjakan bersepadu yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia menjadi agen pemacu dalam membentuk insan berketrampilan dan berdaya saing yang menjadi teras tranformasi negara.

Hadir sama, Senior Manager, Creative Content & Technologies Division, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), En. Mohd Jalallul Alam @ Jasni Zain Mohd Isa dan Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Dr.-Ing. Maizatul Hayati Mohamad Yatim

 

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...