DSC_5599

UPSI, 18 Ogos  – Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan Universitas Veteran Bangun Nusantara, Indonesia (Univet Bantara) diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Canselori di sini hari ini.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa perjanjian persefahaman itu melibatkan program pertukaran pelajar/kakitangan dari kedua-dua pihak, program kerjasama dalam pendidikan dan penyelidikan, pembangunan profesional, pertukaran bahan-bahan penerbitan, laporan dan maklumat akademik yang berkaitan dan mengadakan aktiviti atau program dalam bidang berkaitan yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

“Justeru, saya bagi pihak universiti amat mengharapkan jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Saya percaya bahawa kekuatan yang ada pada UPSI dan Univet Bantara perlu digembeleng bagi menjadikan kedua-dua universiti ini sentiasa saling bantu-membantu dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan terutamanya bagi mencapai matlamat pengantarabangsaan dalam bidang pendidikan tinggi,” ujar beliau.

DSC_5611

Beliau turut berharap semoga hubungan kerjasama itu akan berterusan, dan dapat menyemarakkan lagi pelbagai aktiviti yang dapat memberi impak kepada kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Rektor Univet Bantara, Prof. Dr. Ali Mursyid Wahyu Mulyono berkata, beliau yakin melalui kerjasama tersebut dapat meningkatkan kualiti pendidikan di universiti tersebut.

Hadir sama Pendaftar UPSI, En. Mohd. Faizi Othman, Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Madya Dr. Zulkifley Mohamed, Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa UPSI, Dr. Shamsul Arrieya Ariffin.

 

 

Please follow and like us: