HAS_4197

UPSI, 21 Julai 2016 _ Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kakitangan UPSI 2016/1437H yang diadakan di Dewan SITC disambut meriah oleh semua kakitangan UPSI pelbagai bangsa dan kaum sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain sekalipun mempunyai latar belakang berbeza.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, bersempana majlis itu, beliau menyeru semua kakitangan untuk memanfaatkan ruang dan kesempatan pertemuan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan persahabatan yang terjalin untuk mengukuhkan lagi organisasi.

HAS_4180Beliau turut menasihati kakitangan agar bersederhana dalam berhari raya, elakkan pembaziran, menjaga pemakanan dan kesihatan, memelihara syariat dan hukum hakam serta bersyukur dan mengingati orang yang kurang berkemampuan.

Sambutan perayaan pada tahun ini turut diceriakan dengan pelbagai acara seperti Pertandingan Karaoke Raya, Pertandingan Kad Raya Kreatif, Pertandingan Rendang Sedap dan Unik, Pertandingan Menganyam Ketupat, Pertandingan Fotografi Raya dan cabutan bertuah.

Majlis anjuran Bahagian Komunikasi Korporat dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (PEKA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UPSI (PRESTASI), Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS) dan Kesatuan Pegawai Am UPSI (KPA) itu turut diserikan dengan kehadiran Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Tan Sri Dato’ Sri Zakri Abdul Hamid dan Ahli Lembaga Pengarah, Dato’ Haji Ahmad Haji Burak.

DSC_4115Selain itu, Kesatuan Pegawai Am (KPA) dengan kerjasama Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) turut mengadakan Jamuan Lip Lap Raya KPA kepada ahli kesatuan pada 20 Julai 2016 bertempat di dewan yang sama.

Sambutan yang pertama kali diadakan ini turut mengundang kakitangan dari universiti awam lain  dan dimeriahkan dengan 12 jenis menu iaitu Nasi Tomato, Nasi biryani gam kambing, laksa, mee rebus, kuew teow goreng, cendol ABC buah, bihun soto, lemang/ rendang daging, gado-gado, aneka kerepek dan pelbagai jenis air minuman.

Pusat Perhubungan Alumni (PPA) dan Persatuan Alumni Suluh Budiman turut menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Alumni UPSI pada 23 Julai 2016 bertempat di Hallway, Tingkat 5, Bangunan E-Learning.

Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr. Madinah Bt Mohamad.

pemenang raya

Please follow and like us: