HAS_3070

UPSI, 21 Jun 2016 – Menjadi tradisi bagi umat Islam pada setiap 17 Ramadhan akan mengadakan majlis memperingati Nuzul al-Quran. Pusat Islam turut tidak ketinggalan menganjurkan Ceramah Nuzul Quran 1437H/2016 bertajuk “Al-Quran Pemangkin Peradaban Sejagat” yang disampaikan oleh Pengarah Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dato’ Ellias Zakaria, bertempat di Dewan Konvensyen, E-Learning.

Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadhan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.  Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya.

Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

HAS_3088

Sebagai hamba-Nya kita perlu menghayati dan meneroka tentang keistimewaan turunnya al-Quran supaya dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Seharusnya, peluang ini mesti bermatlamat serampang dua mata iaitu menggalakkan pembacaan al-Quran dan menjadi platform untuk membetulkan dan memperbaiki sebutan atau makhraj huruf, panjang pendek bacaan dan sebagainya.

Prof. Madya Dato’ Ellias Zakaria  turut menyentuh mengenai ibadah puasa, zakat fitrah, adab-adab dalam keluarga dan kejiranan, dan majlis diakhiri dengan sesi soal jawab oleh hadirin.

Please follow and like us: