IMG_3578UPSI, 8 Jun 2016 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), buat kali keempat mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf 2015 (AKS) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bertempat Auditorium Utama. Anugerah diberikan kepada staf UPSI yang cemerlang dalam bidang masing-masing pada tahun 2015.

Datuk Dr. Abu Bakar berkata, universiti merupakan lubuk ilmu, melahirkan cendekiawan dalam pelbagai bidang, menghasilkan pelbagai inovasi demi kesejahteraan rakyat, seharusnya semua pihak bekerjasama untuk menyemarakkan pembudayaan inovasi untuk kemajuan negara.

Tambah beliau, produk  yang dicipta berdasarkan penyelidikan dan kepakaran pensyarah sewajarnya diterima masyarakat dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Penerimaan masyarakat terhadap produk oleh tenaga pakar negara ini  mencerminkan keyakinan dan kepercayaan  terhadap kepakaran  dan kualiti produk tempatan.”

“Justeru, masyarakat  perlu menyokong  usaha yang dijalankan oleh penyelidik   sebagai usaha pengkomersialan dan inovasi yang boleh digunakan mengikut bidang keusahawanan masyarakat atau industri, “ katanya.

Ujar beliau,  kurangnya sokongan masyarakat dan  tidak berminat terhadap kepakaran dalam negara  menimbulkan kegusaran kerana produk pengkomersialan  itu bukan untuk dibeli oleh kementerian sahaja, malahan  masyarakat perlu menerima pakai produk yang dicipta itu.

“Walaupun kerajaan membeli pelbagai produk inovasi  kira-kira  RM30 juta  dan diberikan kepada  yang memerlukan, namun kita mengharapkan  penerimaan masyarakat  dengan membeli pelbagai hasil ciptaan  berkenaan,” katanya.

HAS_2599 HAS_2568

Beliau turut menyarankan  agar penyelidik  di negara ini  memberi fokus  terhadap kepakaran masing-masing dan kurang menimbulkan rasa  ketidakpuasan hati  terutamanya dalam hal remeh-temeh jika hendak mengubah masyarakat dan menyeru generasi muda  terpelajar  belajar bersungguh-sungguh dan  kreatif untuk membina masa depan dan membayar cukai  apabila bekerja  supaya manfaatnya dapat dipulangkan kepada mereka kembali.

Sementara itu Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa dalam ucapannya berkata penganjuran majlis itu adalah sebagai persediaan universiti untuk memilih calon yang akan menyertai Anugerah Akademik Negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Penganjuran majlis yang dimulakan pada tahun 2013 ini, kini menampakkan hasil yang positif di mana pada tahun lepas, dua staf UPSI telah menerima Anugerah Akademik Negara dalam dua kategori iaitu Kategori Pengajaran dan Kategori Seni dan kreatif,” katanya.

IMG_3645Tambah beliau, pada AKS kali ini, 13 anugerah dipertandingkan, 10 anugerah untuk staf akademik, dan tiga anugerah lagi, untuk staf pentadbiran yang dipilih berdasarkan kepada kriteria kecemerlangan perkhidmatan yang ditunjukkan. 13 anugerah itu ialah Anugerah Pengajaran (Sains Gunaan), (Sasteran Gunaan dan Sosial Gunaan), Anugerah Ahli Akademik Harapan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Seni dan Kreativiti (Seni Kraf), Anugerah Seni dan Kreativiti (Penulisan Kreatif), Anugerah Perundingan, Anugerah Tokoh Pentadbir, Anugerah Pentadbir Harapan, dan Anugerah Tokoh Pelaksana.

Beliau juga menyeru staf UPSI agar sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi menjamin kelangsungan kualiti perkhidmatan berada pada tahap yang terbaik.

“Kita perlu bersedia melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan terutamanya berkaitan kemahiran dan penguasaan teknologi yang mampu untuk menghasilkan inovasi dalam setiap bidang perkhidmatan yang disampaikan. Dalam dunia persaingan yang kian hebat, faktor penyampaian maklumat yang berkesan melalui kecanggihan teknologi adalah penentu kepada penyampaian perkhidmatan yang baik,” katanya.

Sementara itu penghargaan turut diberikan kepada Malaysia Music Journal, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, yang diterbitkan oleh Penerbit UPSI, kerana menjadi jurnal UPSI yang pertama disenaraikan dalam SCOPUS.

Turut diadakan Penyampaian Insentif Penerbitan Artikel Jurnal dan Insentif Pingat Emas Ekspo, Pameran Penyelidikan dan Inovasi.

senarai penuh

Artikel ini telah diterbitkan pada 09 Jun 2016.

Please follow and like us: