HAS_0750

UPSI, 23 Mei 2016 – Setiap pasangan khasnya dan anggota masyarakat amnya dalam konteks menjalinkan perhubungan perlu mempunyai ilmu dan celik undang-undang agar dapat mempertahankan hak mereka. Hal ini penting bagi memastikan tiada manipulasi berlaku dalam melestarikan kehidupan berharmoni.

Adun Lubuk Merbau, YB Dato’ Siti Hasmah Mat Jusak berkata, masyarakat progresif dan bersatu padu adalah cerminan daripada kehidupan yang berharmoni. Kesedaran tentang hak dan pengetahuan undang-undang kekeluarga dapat membantu masyarakat hidup dalam keadaan yang lebih teratur dan bersistematik, khususnya dalam kefahaman tentang asas-asas perundangan termasuk undang-undang sivil, syariah dan adat yang diguna pakai dalam kehidupan seharian.

“Pengetahuan tersebut harus difahami dan dihayati oleh setiap pasangan, ketua keluarga dan pemimpin masayarakat agar dapat memainkan peranan secara lebih berkesan demi menjana institusi keluarga dan kemasyarakatan yang harmoni.”

“Menyedari hakikat keruntuhan institusi kelurga dan kemasyarakatan boleh menjadi lebih kritikal sekiranya langkah-langkah proaktif tidak dijana bagi mengatasi permasalahan tersebut, maka golongan wanita perlu diperkasakan agar mereka mengetahui hak serta boleh memainkan peranan dalam bersama-sama berganding bahu bagi pembangunan negara,” katanya sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Program Literasi Undang-Undang 2016 “Respek Wanita: Kesamaan Gender dan Menjana Persefahaman Dalam Institusi Kekeluargaan”  yang berlangsung di Auditorium Utama, UPSI.

HAS_0636 HAS_0832

Tambah beliau, sebagai langkah untuk memartabatkan golongan wanita dalam pembangunan negara dan memperkasakan lagi institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan di negara ini, kerajaan negeri Perak melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan Pelan Tindakan Inklusif Wanita Perak 2015-2020 yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan kedudukan wanita di negeri Perak.

“Pelan ini mengandungi perancangan yang komprehensif dan holistik dengan memberi tumpuan kepada lima fokus utama, iaitu Pembangunan Kapasiti dan Pengupayaan Wanita, Pembangunan Keusahawanan Wanita, Kesihatan, dan Keamanan Wanita dan Pemantapan Institusi Keluarga”.

“Peningkatan ini akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih berkesan dalam semua aspek kehidupan termasuk pembinaan keluarga bahagia dan masyarakat penyayang. Sesungguhnya sumbangan wanita sangat diperlukan dalam menjana dan membangunkan ekonomi, sosial, pendidikan dan politik di negeri Perak dan juga negara,” ujar beliau.

Turut diadakan Forum Kesaksamaan Gender Dalam Pembangunan Negara: Apa Peranan Saya?, mengetengahkan Mantan Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender,  Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Rashidah Shuib dan Pakar Gender Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Prof. Madya Dr. Jamaluddin Aziz sebagai panel dan Pengarah Pejabat Pembangunan  Wanita Negeri  Selangor  Encik Mohd Hazimin Jamaludin selaku moderator serta ceramah, Wanita Sebagai  Anak, Isteri, Ibu dan Pekerja: Peranan Lelaki Ke Arah Menjana  Persefahaman  Dalam  Intitusi Keluarga oleh Ustaz Muhammad Hanafiah Abdul  Malik.

Artikel ini telah diterbitkan pada 24 Mei 2016.

Please follow and like us: