pengunjung ke Free Market3

UPSI, 8 Mei 2016Free Market atau Pasar Percuma merupakan satu usaha dan inisiatif yang sedang berkembang di Malaysia. Free Market berkonsepkan pemberian barangan baharu atau terpakai secara percuma kepada pengunjung. Pengunjung yang hadir boleh mengambil apa sahaja barangan yang disediakan dengan syarat perlu memohon dengan sopan dan mengucapkan terima kasih.

Program yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Mursyidin, UPSI bermula pada jam 5.15 petang hingga 6.45 petang. Rata-rata pengunjung yang hadir menzahirkan perasaan syukur dan terima kasih kepada semua yang menyumbang barangan mereka. Majoriti penyumbang merupakan kakitangan UPSI termasuklah Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Madya Dato’ Dr. Junaidi Abu Bakar.

Salah seorang pengunjung Nurul Afnan Najeeb berkata, “saya hadir bersama rakan-rakan untuk meninjau pakaian perempuan namun terdapat barangan lain seperti makanan, buku, sejadah, rak tudung, dompet, kaca mata hitam dan kasut. Kami bersyukur dan mendoakan peserta yang mengambil bahagian dimurahkan rezeki pada masa akan datang”.

pengunjung ke Free Market2

Menurut Pengarah program, Ainun Nasihah Adnan, “pada peringkat awal, semua AJK tidak jelas mengenai program ini, namun selepas mendapat gambaran dan sokongan daripada Tenaga Pengajar dan Instruktor, kami berusaha sebaiknya untuk menjayakan program ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua AJK yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini, pengunjung yang hadir dan penyumbang “Free Market” UPSI pada kali ini”.

Program seperti ini wajar diadakan setiap semester kerana ia dapat memberi manfaat kepada peserta dan pengunjung. Antara kebaikan dan manfaat didapati daripada penganjuran ini ialah bersedekah masih menjadi amalan dalam kalangan masyarakat. Para pelajar berpeluang untuk berjimat cermat tanpa perlu membelanjakan wang.

Oleh: Nur Syahirah Zarihan

Artikel ini telah diterbitkan pada 09 May 2016.

Please follow and like us: