PELAJAR KAB, UPSI SELAMI BUDAYA MASYARAKAT KEMBOJA

12993586_1003698183051824_8365749739002054316_n

Siem Reap, KEMBOJA – Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Kediaman Kolej Aminuddn Baki, UPSI menganjurkan “Jejak Masyarakat di Bumi Kemboja” yang disertai oleh 23 mahasiswa kolej berkenaan. Program ini telah dijalankan dari 9-12 April 2016 di Perkampungan Stheng Thmey, Siem Reap Kemboja.

Sepanjang program berlangsung pelbagai aktiviti dijalankan seperti interaksi dan mengajar pelajar sekolah agama, menyampaikan sumbangan, dan  melawat tempat bersejarah. Menurut, Mohd Raizol Ramli yang juga pegawai pengiring, lawatan ke Kuil Angkor Wat, Angkor Bayon, Muzium Perang Kemboja dan Tasik Tonle Sap memberi peluang kepada pelajar mengetahui sejarah pembangunan di negara Kemboja.

12928202_1003697893051853_262673288092067239_n 12985490_1060327544026827_988864886009614705_n

Fatin Amirah Amirruddin selaku Pengarah program berkata, “program ini sedikit sebanyak membuka hati kami tentang kehidupan golongan minoriti Islam di negara asing. Terlalu banyak kekurangan yang dapat dilihat sepanjang kami berada di bumi Kemboja ini. Barang keperluan seperti makanan halal, alat-alat tulis, al-Quran dan kelengkapan lain amatlah sedikit dan terhad”.

Pelajar juga berpeluang merasai sendiri pengalaman memasuki kawasan-kawasan yang menempatkan keluarga-keluarga yang tidak berkemampuan. Sedikit sumbangan disampaikan kepada beberapa buah keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi mereka.

Tambah Fatin Amirah, “walaupun program ini hanya berlangsung dalam masa yang singkat, namun pengalaman yang diperoleh amat bernilai dan membuka mata peserta yang bakal menerajui masa hadapan negara. Program seumpama ini perlulah dilakukan dengan lebih kerap dan konsisten bukan sahaja daripada pihak pelajar, bahkan masyarakat Malaysia sendiri. Program seumpama ini diharapkan mampu menjadi pemangkin bagi pelajar mempraktikkan nilai-nilai murni dan sifat-sifat kepemimpinan bukan sahaja bagi individu malahan secara berkumpulan dan bermasyarakat”.

Oleh :  Ammar Markruf Abd Hamid

Artikel ini telah diterbitkan pada 21 April 2016.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...