Kakitangan Cemerlang Terima APC 2015

IMG_2553

UPSI, 20 April 2016 – Universiti Pendidikan Sultan Idris meraikan 147 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang  dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor bertempat di Auditorium Utama.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, majlis itu diadakan pada setiap tahun bagi menzahirkan penghargaan kepada warga UPSI yang mempamerkan kesungguhan dan iltizam yang tinggi dalam mendokong visi dan misi universiti.

 “Kejayaan-kejayaan ini bukan sahaja dapat membantu melonjakkan kecemerlangan staf di jabatan masing-masing bahkan juga melambangkan prestasi kecemerlangan organisasi UPSI itu sendiri. Walaupun anugerah-anugerah ini diberikan kepada staf yang terpilih sahaja untuk tahun 2015 berdasarkan kouta yang telah ditetapkan, namun bagi saya, semua staf telah memberikan perkhidmatan yang terbaik demi membangunkan UPSI yang kita sayangi ini,” katanya.

HAS_6857Tambah beliau, sebagai warga kerja di sektor pendidikan, semua terlibat secara langsung dalam melaksanakan agenda yang digariskan di bawah  Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Memastikan Pendidikan Berkualiti dan juga Transformasi Penyampaian Perkhidmatan Awam.

“Justeru, bagi menyahut usaha kerajaan ini, UPSI telah merangka Pelan Strategik Universiti Pendidikan Sultan Idris 2015-2020 yang kemudiannya telah diselaraskan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). Tanggungjawab ini, perlu dipikul bersama oleh seluruh warga UPSI bagi memastikan kesemua lima teras, 18 objektif dan 63 ‘Key Perfomance Indicator’ (KPI) yang digariskan di dalam Pelan Strategik Universiti Pendidikan Sultan Idris 2015-2020 dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.

Naib Canselor turut mengingatkan warga UPSI agar memberikan perhatian serius mengenai Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai KPI yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan tersebut digunakan untuk tujuan pengesahan jawatan, kenaikan pangkat dan untuk tujuan pencalonan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan kakitangan yang memperoleh Markah LNPT Di Bawah 60% Tahun 2015, dianggap sebagai kakitangan berprestasi rendah dan gagal mencapai KPI yang ditetapkan dan dianggap berada di bawah sasaran (below target).

HAS_6901 HAS_6990

“Adalah difahamkan, berdasarkan Peraturan 50, P.U (A) 1/2012, kriteria pegawai yang dianggap berprestasi rendah ialah pegawai lantikan tetap yang telah disahkan dalam perkhidmatan (markah LNPT kurang daripada 60%, KPI di bawah sasaran, lain-lain instrumen penilaian kurang daripada 60% dan pegawai belum disahkan dalam perkhidmatan (jika prestasi rendah boleh ditamatkan perkhidmatan dalam tempoh percubaan),” tegas beliau.

Turut diadakan Pemberian Insentif PhD 2015 kepada tujuh orang kakitangan akademik dan Anugerah Khas Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) 2015 kepada kumpulan Oasis, dari Perpustakaan Tuanku Bainun dan Kumpulan V-Tech, dari Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Harta Benda.

 Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dato’ Dr Junaidi Abu Bakar dan Pendaftar, En. Mohd Faizi Othman.

Artikel ini telah diterbitkan pada 21 April 2016.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...