FSK Dedah Pengetahuan El-Nino

HAS_0722

UPSI, 6 APRIL 2016 – Bagi meningkatkan kesedaran dan melahirkan generasi pendidik yang lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu perubahan cuaca dan iklim sejagat, Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan dengan kerjasama Persatuan Geografi (PERGEO) menganjurkan program Wacana Ilmu 2016 bertemakan El-Nino Dan Pengaruhnya bertempat di Dewan Seri Tanjung.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Iklim Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, Encik Jailan Simon,  beliau membentangkan secara terperinci bagaimana terjadinya El-Nino, isu berkaitan iklim Malaysia, monsun beserta rekod-rekod berkaitan suhu di Malaysia, purata hujan bulanan, kitaran kerakaman iklim, El-Nino/ La Nina, kawasan-kawasan pemantauan, dan status terkini El-Nino.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Dr. Zainuddin Othman, isu El-Nino perlu diketengahkan bukan sahaja kepada warga kampus sebaliknya perlu ada pihak bertanggungjawap yang dapat menjelaskan isu itu kepada komuniti bagi memberi pengetahuan, panduan dan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pengurusan fenomena tersebut khususnya para pelajar.

“Isu ini perlu diketengahkan bukan setakat di dalam kampus. Alangkah bagusnya, sekiranya ada pelajar dapat menjelaskannya kepada komuniti. Jadi saya berharap apabila pulang ke kampung kelak untuk bercuti pada minggu hadapan, pelajar dapat menerangkan isu ini kepada komuniti,” katanya sewaktu merasmikan Program Wacana Ilmu itu.

Selain itu, beliau turut berharap agar semua pihak dapat melakukan persediaan awal untuk menghadapi bencana itu  pada masa akan datang khususnya dari segi persiapan bekalan makanan kerana fenomena tersebut dilihat mampu menjejaskan tanaman dan bekalan makanan.
Artikel ini diterbitkan pada 07 April 2016.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...