IMG_3069

UPSI, 28 April – Lebih 4000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghadiri program CEO@Faculty Programme oleh Pengerusi Nobel International School, Tan Sri Johan Jaafar, bertajuk The Red Paper Cup: The Power of Imagination and Creativity.

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City itu, Tan Sri Johan Jaaffar yang juga merupakan Mantan Pengerusi Media Prima, menyeru agar mahasiswa berfikir secara kreatif dan berbeza jika ingin berjaya dan menjadi hebat.

Dengan mengambil contoh klip kertas berwarna merah, beliau berkata, ramai orang memandang remeh perkara yang kecil kerana ia tidak mempunyai makna seperti klip kertas tersebut. Tetapi dengan kuasa imaginasi, kreativiti yang ada pada seseorang ia dapat menukarkan sesuatu yang tidak bernilai menjadi aset.

Mengambil contoh seperti Sir Richard  Brand,  Mark Zuckerberg (pengasas Facebook), Tony Fernandes  (pengasas AirAsia),  Jan Koum (pengasas WhatsApp),  Tan Sri Lim Kok Wing, Sabri Yunus, katanya, mereka berjaya atas idea kreatif dan, mempunyai kelebihan kerana menggunakan minda kreatif mereka hingga berjaya seperti hari ini.

Tambah beliau mahasiswa UPSI bertuah kerana berpeluang melanjutkan pengajian di sebuah universiti yang hebat dan terkenal dengan sejarahnya yang panjang. Justeru, beliau menyarankan agar mahasiswa UPSI diberi tugasan yang mencabar supaya mereka akan berfikir secara kreatif dan inovatif kerana dunia sudah berubah berbanding zaman muda beliau.

IMG_3028 DSC00617

“Perubahan kita sekarang berlaku antaranya disebabkan wujudnya facebook dan whataspp sebagai saluran berkomunikasi masyarakat berbanding zaman komputer diperkenalkan di negara ini,” katanya.

Selain itu, Tan Sri Johan turut berkongsi pengalaman ketika beliau membangunkan Nobel International School dan ketika memimpin Media Prima Berhad sebagai pemain industri komunikasi untuk membuka minda mahasiswa serta memberi ruang dan idea baharu kepada mereka.

Hadir sama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor; Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof.  Dr. Sahandri Gani Hamzah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dato’ Dr. Junaidi Abu Bakar serta Pendaftar UPSI, Mohd Faizi Othman.

Melalui program CEO@Faculty Programme, UPSI diberi dua orang CEO iaitu Pengerusi Nobel International School, Tan Sri Johan Jaaffar, dan CEO/Founder Openlearning.com, Mr. Adam Brimo. Kedua-dua CEO ini dilantik sebagai Adjung Profesor di UPSI untuk tempoh dua tahun.

Antara tugas CEO adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama kakitangan dan pelajar UPSI melalui program yang dirancang seperti sesi pengajaran bersama bagi kursus tertentu, syarahan umum, bengkel, penasihatan program dan kajian kes.

Artikel ini telah diterbitkan pada 29 April 2016.

Please follow and like us: