IMG_2202

UPSI, 28 Mac – Suasana pilu menyelubungi Panggung Budaya, Fakulti Muzik & Seni Persembahan sebaik sahaja dokumentari kisah perjalanan seorang ikon Sukarelawan UPSI, Allahyarham Prof. Dr. Suhaily Yusri Che Ngah mula ditayangkan.

Ramai teman seperjuangan, keluarga, pelajar, dan barisan tertinggi universiti yang hadir menonton tayangan dokumentari khas terbitan Pusat Kebudayaan UPSI tidak dapat menahan sebak sewaktu Majlis Pelancaran & Tayangan Perdaya Potret Suhaily.

Pada awal tayangan dokumentari berdurasi 1 jam 30 minit itu memaparkan kisah perjalanan sebuah pasukan sukarelawan daripada Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan UPSI yang dikenali ResQ UPSI yang bertanggungjawab melakukan lima misi pembersihan yang dijalankan di seluruh jajahan Kuala Krai, Kelantan serta temu bual bersama keluarga dan rakan-rakan perjuangan yang terlibat secara langsung bersama arwah.

Menurut, Pengarah Pusat kebudayaan, En. Nur Faizal Fariz Sahdan, pembikinan ‘Potret Suhaily’ memakan masa selama 6 bulan 9 hari.

“Ia mula dirakamkan pada awal bulan November iaitu selepas 14 hari pemergian Allahyarham Prof. Dr. Suhaily Yusri dalam kemalangan jalan raya di kilometer 13.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 8 Oktober 2015 ketika dalam perjalanan untuk membuat persiapan majlis penyerahan 11 rumah bantuan banjir yang dijadualkan pada 9 Oktober 2015,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang merancang untuk menjelajah ke-18 buah IPT bagi menayangkan dokumentari berkenaan.

Terdahulu dalam majlis anjuran dan hasil kerjasama Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan (HIMSAK) UPSI, HIMSAK Kebangsaan, Pusat Kebolehpasaran Graduan (GEC), UPSI, ResQ UPSI, Fakulti Muzik & Seni Persembahan, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Persatuan Georgrafi (PERGEO) itu, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Haji Ahmad Haji Burak berkata, banyak kenangan manis dan pahit ditempuhi beliau sewaktu bersama-sama arwah dalam pembinaan rumah transit kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Turut diadakan Majlis Penyampaian Penghargaan Misi Bantuan Kemanusiaan 2014 kepada individu dan kumpulan yang terlibat dalam Misi Bantuan Menyelamat & Misi Bantuan Kemanusiaan Bah Kuning di Kuala Krai, Kelantan pada tahun 2014 dan 2015.

Hadir sama Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris, Mantan Naib Canselor, Prof.Emeritus Dato’ Dr. Aminah Ayob, balu arwah, Puan Rini Shaharizah Mohamed dan keluarga.

Artikel ini diterbitkan pada 28 Mac 2016.

Please follow and like us: