Seminar “Rumahku Syurgaku: Pelihara Dirimu Dan Keluargamu”

HAS_4337

UPSI, 10 Mac 2016 – Berikutan peningkatan masalah dalam institusi kekeluargaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan seminar “Rumahku Syurgaku: Pelihara Dirimu dan Keluargamu”. Seminar membincangkan faktor yang perlu diambil kira untuk mengelakkan berlakunya keretakan dalam  sesebuah keluarga seperti aspek kewangan, cara didikan anak-anak, dan sikap yang sepatutnya diamalkan oleh pasangan untuk melahirkan keluarga bahagia.

Seminar dirasmikan oleh Dato’ Haji Razali Shahbudin, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM (Pembangunan Insan). Beliau turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Membudayakan Perencanaan Keluarga Mengikut Acuan Rasulullah S.A.W”, di mana beliau menyatakan banyak pasangan yang berpisah kerana mereka tidak memahami hakikat-hakikat yang diperlukan dalam sesebuah perkahwinan menurut Islam. Oleh itu, perlu mengenal pasti struktur di dalam sesebuah institusi kekeluargaan dan memahami tanggungjawab mereka untuk membina sebuah keluarga seperti Rasullullah S.A.W dan mereka perlu mempunyai ilmu khususnya dalam bidang agama untuk merealisaikan perkara tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa, dalam ucapannya menyatakan, seminar itu bertujuan untuk memberi pemahaman khususnya kepada suami isteri tentang ilmu keibubapaan, kekeluargaan, dan munakahat. Beliau juga berharap seminar tersebut dapat memberi inspirasi kepada para peserta di samping menyedari kepentingan ilmu dalam kehidupan mengikut syariat Islam.

HAS_4384  HAS_4314

Seminar dimulakan oleh Nur Akmar Yaakub, Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan (AKPK),  memberi kesedaran berkaitan kewangan keluarga melalui kertas bertajuk “Petua Bijak Mengurus Kewangan Keluarga”.

Satu sesi forum dengan tajuk “Keluarga Bahagia Aset Akhirat” yang menampilkan dua panel iaitu Pn. Suzana Shazali, Perunding Psikologi & Guaman Syari’e dan Prof. Madya Dr. Mohd Nor Mamat, Timbalan Dekan Akademik Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM).  Antara isu yang dikupas termasuklah faktor yang membawa kepada kebahagiaan suami isteri, peranan suami untuk membimbing keluarga supaya berjaya di dunia dan akhirat, dan tips-tips untuk mengecapi ketenangan rumah tangga. Forum dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Sains dan Kemanusiaan UPSI.

Artikel ini diterbitkan pada 14 Mac 2016.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...