IMG_0962

UPSI, 16 Mac 2016 – YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Penaung PERMATA Negara merasmikan  Sistem Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan (National Child Data Centre -NCDC) yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), UPSI pada 8 Mac  2016 bertempat di Dewan Serbaguna, NCDRC.

Menurut Datin Seri Rosmah Mansor, sistem itu berperanan sebagai pangkalan data dan profil kanak-kanak di bawah umur empat tahun yang menghadiri taman asuhan kanak-kanak (Taska) di seluruh negara.

“Dalam konteks Permata Negara, NCDC bertanggungjawab dalam menyemak laporan berkaitan perkembangan kanak-kanak yang menerima pendidikan di Pusat Anak Permata Negara dan menyalurkan maklumat mengenai penyelidik dan pakar dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.”

“Sistem ini merupakan langkah yang strategik, holistik dan komprehensif bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan awal yang berkesan berdasarkan kurikulum Permata. Sistem NCDC juga bertepatan dengan hasrat Permata untuk meningkatkan kualiti pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini kerana melalui data yang terdapat dalam sistem itu, Permata boleh memantau kelayakan pendidik dan pengasuh bagi memantapkan kualiti pendidik dan pengasuh melalui penawaran program latihan yang bersesuaian,” katanya.

IMG_1047   IMG_1023

Tambah beliau, sehingga kini, sistem tersebut terbukti berjaya menjadi pusat rujukan bagi pendidikan awal kanak-kanak dengan Seramai 75,500 kanak-kanak seluruh Malaysia dipantau dan telah diprofilkan.

“Justeru, demi masa depan anak-anak kita, saya menyarankan agar NCDC akan menjadi pusat rujukan yang ulung kepada mereka yang ingin mendapatkan data yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak dari seluruh Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim, Naib Canselor,  Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris dan Pengarah NCDRC, Prof. Dr. Sopia Md. Yassin.

Artikel ini diterbitkan pada 17 Mac 2016.

Please follow and like us: