UPSI – SUHAKAM Jalin Kerjasama Erat

HAS_0341

Proton City, 22 Feb. 2016 –  Menyedari kepentingan kesedaran terhadap perlindungan hak asasi manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 22 Februari 2016 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan di FSK menawarkan dua bidang pengajian iaitu Pengajian Malaysia dan Pendidikan Moral.

“Di dalam pengajian Malaysia terdapat beberapa kursus yang ditawarkan berkaitan dengan hak asasi manusia seperti subjek hak asasi dan masyarakat, hubungan antarabangsa Malaysia, isu-isu serantau dan antarabangsa dan sistem undang-undang Malaysia. Bagi Pendidikan Moral terdapat juga kursus berhubung hak asasi manusia yang diterapkan di dalam pengajian seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral di Malaysia dan Pengantar Pendidikan Moral.”

“Subjek universiti seperti Kenegaraan Malaysia dan TITAS juga menerapkan ilmu hak asasi manusia dalam pengajaran dan pembelajaran. Tujuan ilmu hak asasi ini diterapkan dalam kursus-kursus yang ditawarkan adalah asas agar pelajar mengetahui hak mereka sebagai warganegara. Sering kali masyarakat Malaysia khususnya didiskriminasi dari pelbagai segi hak asasi, Justeru, dengan pendedahan ilmu hak asasi di peringkat universiti, para pelajar lebih terdedah dan mengetahui hak mereka dalam apa-apa isu yang berhubungan.”

“Justeru kerjasama SUHAKAM dan UPSI ini, pastinya akan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak, khususnya dengan perlaksanaan pelbagai aktiviti dan program yang berkaitan, antaranya Latihan Industri Pelajar, Program Latihan Kakitangan, Program Penyelidikan Bersama, Pertukaran Data dan Maklumat, Jemputan Acara Rasmi/Tidak Rasmi, Penubuhan Unit/Persatuan Hak Asasi, dan lain-lain bidang sebagaimana yang dipersetujui bersama oleh UPSI dan SUHAKAM,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof. Emeritus Dato’ Mahmood Zuhdi Hj. A.Majid, menyampaikan ucaptama bertajuk “Hak Asasi Manusia dalam Konteks Organisasi” sempena MoU tersebut berkata, setiap orang perlu memahami bahawa hak itu wujud bersama konsep 3R iaitu Rights (Hak), Respect (Hormat) dan Responsibility (Tanggungjawab).

“Sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian sosiobudaya, agama dan bangsa, saya sentiasa percaya bahawa hak asasi manusia, pada dasarnya, adalah menghormati orang lain, serta  menghormati perbezaan yang mencirikan kita sebagai individu dan masyarakat. Konsep murni seperti inilah yang perlu diserapkan dalam diri pelajar, bagi membentuk jati diri yang berkualiti,  sekaligus menghasilkan murid yang seimbang iaitu cemerlang dalam bidang akademik dan terbilang dalam kehidupan.

“Berdasarkan artikel 26 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), semua manusia mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan. Begitu juga para mahasiswa di UPSI. Malah para pelajar mempunyai hak untuk memilih jurusan yang mereka minati dan bersesuaian dengan kelayakan. Dalam masa yang sama, para pelajar juga mempunyai tanggungjawab untuk menghormati para pensyarah yang telah banyak mencurahkan ilmu pengetahuan dan membantu memberi pendedahan berkenaan bidang perguruan. Hormati para pensyarah anda, dan insya-Allah kesan itu akan turut sama dirasai anda sewaktu anda menjadi pendidik kelak.”

“Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk sentiasa bersikap jujur dan berintegriti dalam pelajaran. Tindakan seperti ‘plagiarism’ (tiru meniru) dalam menyiapkan tugasan, bukan sahaja melanggar ‘undang-undang hak cipta’, malah melanggar integriti sebagai seorang pendidik yang bakal membentuk keperibadian murid-murid di sekolah kelak. Kita perlu menghayati prinsip hak asasi manusia dengan penuh bertanggungjawab, Insyaallah, benih yang terhasil daripada sumber yang baik, akan membuahkan hasil yang baik,” ucap beliau.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Zakaria kasa turut memaklumkan FSK bakal menawarkan program baharu yang dijangka akan buka pada September 2017 iaitu, Diploma Turath (Eksekutif), Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dan Qiraat dan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Kaunseling khusus untuk pelajar-pelajar dari pondok.

Menurut Dekan FSK, Prof. Dr. Zainudin Othman, penawaran program itu bertujuan mewujudkan dan mengiktiraf guru-guru tahfiz dalam kalangan pelajar sekolah pondok. Selain itu, penawaran tersebut adalah atas permintaan yang tinggi dalam kalangan pesara dan masyarakat yang ingin mendalami ilmu agama setelah bersara daripada perkhidmatan.

Artikel ini diterbitkan pada 23 Februari 2016.

epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

You may also like...